July 11, 2008

Resah Seorang Permaisuri

Assalamualaikum wbt..
Artikel ini ditulis ketika kes Allahyarham Nurin dan kes Syazlene. Moga ada manfaat

Permaisuri itu resah. Terlalu resah. Sudah sepurnama dia cuba menghayati ayat-ayat mulia itu. Dia bukan jenis begitu. Bukan jenis yang tidak mengimani mana-mana kalamullah itu.Kerana ayat-ayat mulia itu jiwanya seolah bergelora. Terlalu kencang. Dan kerana ayat itu juga, air matanya terlalu murah. Entahlah dia sebelum ini bukan jenis begitu. Permaisuri itu meraup muka, agar kegelisahan itu terselindung. Namun, dia tidak dapat menghilangkan gelisah.

Permaisuri itu melangkah longlai. Jiwanya perlu ditenteramkan dengan kedinginan air wudhu’. Tsunami dalam jiwanya perlu cepat diamankan. Dia tidak mahu membelakangkan ayat-ayat Allah. Dia tidak mahu tindakannya melayan resah dikatakan tidak mengimani ayat-ayat Allah. “"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45

Permaisuri itu terus menerus memohon pertolongan daripada yang Khaliq. Dia sedar, walau dirinya seorang pemimpin, dia masih perlu merendah diri kepada KhaliqNya. Dia terus merayu agar diberi kekuatan dan keimanan yang cukup utuh untuk mengamalkan seruan-seruan Allah. Dia tidak mahu dikatakan tidak beriman dengan ayat yang satu itu. Dia terus menerus menangis di hadapan Yang Maha Mendengar tentang keadaannya itu. Dia terus dapat kekuatan. Sememangnya Allah lah tempat meminta pertolongan.

Dia terus menghafaz ayat-ayat yang menjadikan hatinya tidak cukup keruan. Dia simpan kemas ayat itu di dalam sanubarinya. Hatinya cuba menidakkan ayat itu, namun imannya dikejap kemas, agar ayat itu kan terus diamalkannya.

“ Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain” An Nisa’ : 34

Realiti

Jarinya cukup pantas menekan kekunci skrin besar di hapadannya. Satu persatu paparan dipaparkan. Segalanya tentang kaum yang satu itu. Dia kasihan melihat dunia sekarang. Dia melihat paparan pertama. Seorang gambar wanita yang lebam-lebam badannya disiarkan. Mangsa kekejaman seorang suami. Si isteri seorang yang patuh, tidak pernah melawan kekerasan suami. Namun kali ini dia tidak sanggup lagi. Dia tahu, seorang isteri yang solehah tidak akan mengadu domba tentang kebobrokan suaminya. Hari ini dia tidak tahan. Sudah lima belas tahun dia diperlakukan sebegini, tanpa sebab yang utama. Kata suaminya, dia tidak memberi wang yang diperlukannya. Lalu disepak terajangnya si isteri.

Dia geleng kepala. Air matanya menangis lagi. Permaisuri itu berdetik “ Inikah pemimpin kaum wanita?” Dia lantas teringat pesan rasulullah saw kepada para suami "Yang paling baik diantara kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya".(Hadith riwayat Baihaqi dan Abdullah b.Mas'ud R.A). Tidakkah para pimpinan keluarga ini tidak teringat kisah sewaktu zaman Khalifah Umar Al Khataab. Seorang sahabat ingin berjumpa dengannya untuk mengadu tentang kelakuan si isteri yang asik marah-marah. Namun ketika kedatangannya dilihat isteri khalifah itu sedang marah-marah dan membebel. Namun, khalifah hanya mendiamkan diri sahaja. Apabila ditanya mengapa tidak ditegur isteri yang marah-marah, sedangkan khalifah berhak menegurnya, lalu jawab Umar Al Khatab “Isteriku adalah orang yang telah memasakkan makanan untukku, membasuh pakaianku dan mendidik anak-anakku. Lalu apalah salahnya aku bersabar sedikit dengan kerenahnya yang sedikit itu.” Subhanallah indahnya akhlak rasulullah dan para sahabat as.

Permaisuri itu menekan lagi skrin. Kali ini, tentang ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Si ayah merosakkan anak sendiri, si datuk merosakkan cucu sendiri, si bapa saudara, merosakkan anak buah sendiri. Permaisuri itu terduduk. Dia beristighfar panjang.

Dia terus melihat realiti kaum lawannya itu. Dia runsing. Dia melihat anak-anak muda terkinja-kinja menari di khalayak ramai. Yang lelaki dan wanita berpeleseran tanpa segan silu. Ingin sahaja permaisuri itu bertanya, di manakah bapamu? Di manakah abangmu? Mengapa tidak ditegur sahaja kelakuan jelekmu anak muda? Si anak muda berkata, bapaku tidak pernah menegurku. Siapalah dirimu untuk menegurku nenek tua? Dia terkelu. Apakah kaum lawannya itu tidak mengimani ayat
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan” [al-Tahrim 66 : 6]

Terlalu sibukkah kalian sehingga tidak ada masa untuk mendidik si anak? Itu tugas bersama isteriku, bukan tugasku seorang. Memang benar, ia tugas bersama, namun, bukankah kau pemimpin kami? Mengapa tidak memimpin kami agar bersama-samamu mendidik anak-anak ini?

Lagi paparan. Cakera padat lucah berlambak di pasaran. Terlalu banyak. Siapa yang mencetaknya? Siapa yang memintanya? Tidak mungkin sesuatu terjual di dengan banyaknya di pasaran andai tiada permintaan? Sekiranya dahulu, ketika zaman rasulullah saw, dimintanya baginda saw untuk menghantar utusan kepada seorang sahabat. Si sahabat menerima dengan hati yang terbuka. Dalam perjalanannya, dia ternampak kelibat seorang wanita yang sedang mandi. Diintainya. Namun Allah membuka hatinya, terus-terusan dia menangis, memohon ampun. Langsung tidak mahu berjumpa dengan Rasulullah saw, lantaran perasaan malu yang cukup menebal. Dia terlalu malu dengan dosa matanya. Namun kalian, wahai kaum lelaki, cukup megah berkata ”Ala, pandangan pertama yang lama tak pekan?” sambil tersengih seperti kerang busuk. Sungguh busuk kelakuanmu itu wahai lelaki!

Apakah kau terlupa dengan amaran Allah ” Dan janganlah kalian mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan" [Surah al-Israk: 32]. Dan bukankah rasulullah saw telah mendefinisikan erti zina itu? “Zina kedua mata itu memandang, zina kedua telinga itu mendengar, zina kedua tangan itu menjabat, zina kedua kaki itu melangkah dan zina hati itu mengingini, mengangan-angankannya" - ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Paparan di hadapannya terlalu banyak. Belum lagi tentang korupsi. Belum lagi tentang isu membunuh manusia. Belum lagi tentang kebiadaban seorang anak terhadap ibunya. Belum lagi kisah kecurangan suami. Semuanya membuatkan kepala permaisuri itu berbinar-binar. Dia masih lagi mengimani ayat lelaki pemimpin kaum wanita. Dia perlu merehatkan badannya. Dia berjalan perlahan-lahan ke taman indah, menemui ‘qurraitul ainnya. Di sana dia ingin mendengar celoteh putera-puteranya.

to be continued....

No comments: