Diskusi indah
Putera-puteranya sedang bermain. Syed Yassin sedang menunggang kuda. Umar dan Rantisi sedang berlatih dengan pedang. Mulut mereka terkumat-kamit membacakan zikrullah. Khalid Al Walid sedang memperhatikan adik-adiknya bermain, sambil mentadabbur al-quran. Anak-anak itu walau dibesarkan dalam suasana moden, mereka gemar dengan permainan perang zaman rasulullah saw.Permaisuri tenang melihat anak-anaknya yang diharapkannya dapat menjadi pemimpin ke atas wanita. Ar rijalu qawamul ‘alannisa’. Diharapkan juga, anak-anak itu jadi pemimpin orang-orang yang bertaqwa. Permaisuri itu terus-terus berdoa. Dia mensyukuri, anak-anaknya adalah qurratul ‘aina buatnya.
Khalid al Walid lekas mendapatkan permaisuri itu. Dicium tangannya dan dipeluk bondanya dengan penuh kasih sayang. Permaisuri membalas pelukan kasih anaknya. Ditatapnya wajah anakanda itu dengan penuh kasih. “Bonda sedang memikirkan tentang umat?”
Permaisuri itu mengangguk lemah. “Kalian punya amanah besar terhadap kami kaum wanita. Jangan biarkan kami tidak mempercayai kalian sebagai pemimpin kami.”
“Bonda kelihatan seperti ingin membela kaum wanita, seolah-olah bonda seorang aktivis wanita”. Anakanda yang lain sudah mula mengelilingi bonda. “Bonda memang seorang aktivis wanita. Bukankah sedari zaman rasulullah sudah ada aktivis wanita? Ingatkah kalian tentang permintaan seorang sahabiah agar diadakan satu majlis ilmu khas buat kaum wanita di zaman rasulullah saw? Bukankah seorang sahabiah pernah meminta penjelasan tentang perolehan-perolehan seorang wanita yang tidak pergi berperang sebagaimana suami mereka? Bukankah itu menyamaratakan hak seorang wanita?”
Anak-anaknya terdiam. “Bonda mengimani sungguh ayat ini, “ Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain” An Nisa’ : 34. Tetapi akhiran ini keimanan bonda terhadap ayat ini goyah. Apa pendapatmu anakanda tentang kaummu, yang lelaki?”
“Kami diberi kelebihan dengan beberapa kelebihan, daripada kaum wanita” Rantisi menjawab petah. “ Kami diberi kelebihan 9 aqal berbanding wanita” Syed Yassin pula mengomel.
“Kami telah Allah lebihkan dari segi kesaksian, hanya seorang saksi diperlukan berbanding wanita yang perlu lebih ramai”. Umar pula mengeluarkan hujah.
“Kami telah Allah kurniakan amanah agar menjadi pemimpin. Allah telah memilih rasulNya di kalangan lelaki. Namun begitu, Allah itu Maha Adil. Wanita tidak dijadikan lemah, wanita dan lelaki dinilai sama tarafnya di sisi hambaNya. Seorang wanita yang solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia. Wanita yang menjaga solatnya, puasanya dan kehormatan dirinya dan menjaga amanah harta suami, serta memelihara maruah suami serta pandai menjaga diri, Allah memudahkan sangat-sangat laluannya ke syurga. Wanita yang memintal benang, menyusukan anaknya, menuruti kemahuan suaminya hanya untuk mendapat redha Allah, telah dijanjikan keampunan dan pahalanya sama dengan kaum lelaki yang berjihad. Terlalu banyak janji yang telah digariskan oleh Allah dan rasulNya untuk kaum wanita.Allah itu Maha Adil.Subhanallah”. Kali ini giliran Khalid al Walid berkongsi ilmu.
Permaisuri itu mengucap syukur. Syukur anak-anaknya di bawah acuan yang sebenar. Anak-anaknya matang di bawah acuan al Quran dan As Sunnah. Permaisuri itu terus menduga anak-anaknya. “Namun begitu anak-anakku. Kalian lihat zaman ini. Si ayah tiada belas terhadap anak. Lelaki hanya menggunakan kaum hawa sebagai pemuas nafsu. Kanak-kanak yang sedang sakit diculik, dan dirogol. Isteri yang setia disepak terajang. Kaum adam tidak lagi menjadi pelindung kami kaum hawa daripada api neraka. Dibiarkan sahaja kami memilih jalan kami ke neraka. Apakah kalian tidak rasa cemburu terhadap pakaian kami? Apakah kalian tidak punya rasa kasih terhadap kami? Apakah kalian tidak ingin kami bersama-sama kalian terpelihara daripada api nerakaNya?”
“Bonda, semuanya tidak boleh disalahkan kepada kami semata-mata. Surah an nuur telah dinyatakan bahawa ghaddul bashar kepada kedua-duanya. Lalu diminta kaum hawa melabuhkan tudungnya ke paras dada. Diminta juga kaum hawa tidak menghentak-hentakkan kaki ketika berjalan. Rasulullah juga tidak membenarkan kaum wanita berwangi-wangian kerana itu menghampiri zina. Suara juga tidak boleh dimanjakan. Bukankah wanita itu dalam kelembutan ada ketegasan?” Khalid membantah dengan hikmah.
“ Bonda takut, bonda terlalu takut sekiranya umat kita di zaman ini mula bertuhankan nafsu dan harta. Bonda takut, si ayah, si abang, si datuk tidak lagi punya rasa cemburu dengan kelakuan saudara perempuan mereka. Bonda takut, andai kalian tidak lagi memandang kami sebagai seorang hamba Allah yang telah ditinggikan martabat olehNya. Bonda takut kita mula mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang kita tidak tahu”.
“Bonda, Allah telah menjadikan setiap jin dan manusia hanya untuk beribadah kepadaNya. Pemeliharaan Allah hanya kepada mereka yang benar-benar memelihara perintahNya. Jagalah Allah, Allah akan menjagamu. Bukankah itu pesan rasulullah saw? Kita semua perlu kembali kepadaNya dengan sebenar-benar kembali. Kedua-kedua pihak perlu mainkan peranan. Bukankah muslimah di zaman rasulullah saw, ketika diturunkan ayat untuk berhijab, mereka terus berkata “Sami’na wa’ata’na”, kami dengar dan kami taat? Bukankah para sahabiah telah melahirkan generasi yang soleh? Lihat sahaja Sumayyah, lahirnya Ammar sahabat rasul dalam perang badr. Generasi sahabiah dahulu apabila nampak munkar mereka mencegahnya. Tapi sekarang, wanita sekarang berfikiran seperti mereka yang tiada acuan.”
“Mereka berpakaian bukan seperti seorang Muslim. Mereka sebagai ibu tidak mendidik anak-anak dalam pentarbiyyahan Robbani. Mereka sebagai isteri tidak tunduk dan patuh kepada suami, serta tidak saling menasihati. Mereka sebagai kawan tidak sama-sama menganjurkan dakwah sesama mereka. Wanita Islam sekarang seperti tiada pendirian, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw “Janganlah kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian dan berkata, 'Aku ikut saja seperti orang-orang itu. Jika mereka baik, aku pun baik; jika mereka jahat, aku pun jadi jahat.' Tetapi teguhkan hatimu dengan keputusan bahwa jika orang-orang melakukan kebaikan, maka aku akan mengerjakannya; dan jika orang-orang melakukan kejahatan, maka aku tidak akan mengerjakan." Syed Yassin pula berhujah.
“Kami bukan menyalahkan sepenuhnya kaum Hawa, bonda. Kaum Hawa telah Allah naikkan tarafnya. Ibu kepada para rasul-rasul, sayap kiri perjuangan kepada golongan syuhada’, teman yang turut sama menyebarkan agama Allah ini. Namun, realiti sekarang, wanita Islam, pakaian, akhlak, didikan tidak seperti acuan Islam. Atas hak individu, mereka berpakaian, dan bergurau senda dengan kaum lelaki tanpa segan silu. Akhirnya, anak-anak hilang arah tanpa sedikitpun mengenali Pencipta mereka.” Syed Yassin terus berhujah.
“Namun begitu anakandaku, kalian lihat sendiri, di mana kaum ar rijal yang kami harapkan? Bonda terbaca kisah para sahabat, ketika di zaman seorang khalifah, seorang wanita Islam telah diacah-acah oleh seorang lelaki Yahudi di hadapan orang ramai, sehingga tersingkapnya aurat wanita itu. Berita itu sampai kepada si khalifah, lalu khalifah itu terus mengisytiharkan penangkapan kepada si Yahudi itu. Subhanallah, ar rijal dahulu benar-benar memelihara maruah kami sebagai wanita Muslimah. Tapi sekarang, lihatlah bagaimana. Kami benar-benar tidak lagi merasakan keselamatan kami. Malah, kami benar-benar ketakutan dengan kaum ar rijal”
“Dunia sekarang tidak aman. Lihat sahaja kes pembunuhan. Lihat sahaja kes penculikan. Lihat sahaja kes rasuah. Jiwa manusia tiada nilai. Bonda takut untuk melepaskan kalian ke dunia luar. Bonda takut kalian tidak kan mampu menangkis godaan manusia dan harta. Tapi kalian, bonda harapkan jadi ar rijal qawwamul ‘ala nisa’. Bonda benar-benar yakin, cahaya yang terang kan kembali menyinari bumi yang semakin tua. Bonda yakin, Allah akan memenangkan mereka yang bertaqwa, dan kemudiannya memberi amanah kepada al muttaqeen. Semuanya jelas dalam al Quran.”
“Bonda, yakinilah Allah. Kami faham kelibutnya dunia sekarang. Namun, kemenangan itu hanya apabila kita telah benar-benar dalam ketundukan terhadap perintah Allah. Ayuh adik-adikku, ayuh kita bangunkan ruh kita. Ayuh kita kembalikan kepercayaan kaum wanita kepada kita. Allah telah memberi amanah untuk kita pelihara mereka dan keluarga kita daripada api neraka. Bukan mudah tugasan itu.” Khalid al Walid tegas dengan adik-adiknya.
Si permaisuri bersyukur. Air matanya mengalir deras mengucapkan hamdalah atas kurniaan qurratul aina kepadanya. Rantisi menyeka air matanya, dan dipeluk bonda. “Bonda, doakan kami. Amanah Allah ke atas kami sungguh besar. Setiap kesusahan pastikan ada yusra. Setiap kesusahan pastinya ada yusra. Itu janji Allah. Namun, bonda, kami mohon dari pihak hawa juga. Jadilah sayap kiri perjuangan kami. Lihat sahaja saiditina Khadijah, dengan harta dan sokongan penuh kepada rasulullah saw, lihat sahaja Saiditina Aisyah ra, dengan ilmu dia berjihad, lihat sahaja Fatimah ra, yang benar-benar taat dan patuh kepada suami, lihat sahaja Asma’ Abu Bakar yang benar-benar berani merentasi gurun untuk membawa bekalan, lihat sahaja Sumayyah yang jiwa utuh memegang aqidah. Mereka sahabiah yang cukup merdeka jiwa mereka. Dan kerana peribadi mereka yang cemerlang, Islam bersinar di samping bantuan Allah buat golongan ar rijal”
“Benar, kita keduanya harus kembali kepada Al Quran dan As Sunnah. Itulah jalan yang sebaiknya. Keduanya, andai dipegang, sebagaimana menggigit dengan gigi geraham, kita tidak bisa sesat. Itulah amanah Rasullullah saw. Kita masih dalam jihad, jihad melawan nafsu, dan itulah kemenangan yang paling utama.” Rantisi terus bersuara.
Syura
“Bonda, ayuh kita tunaikan solat asar. Bukankah jam 5, majlis syura kan diadakan? Ayuh bonda, kita mengadap Kekasih kita”. Kali ini Umar mengingatkan.
Permaisuri itu lekas berwudhu’. Khalid al Walid mengimamkan masjid raudhah. Permaisuri itu,terasa sejuk hati. Ramai jemaah yang mengimarahkan masjid raudhah itu. Usai solat, mereka berdoa panjang, untuk kesejahteraan ummah dunia dan akhirah.
Permaisuri itu dengan kekuatan dari Khaliqnya, meneruskan syura. Syura untuk memastikan segalanya dalam acuan al Quran dan as Sunnah. Syura untuk merencana agenda panjang untuk kemakmuran ummah. Dalam hatinya, dia benar-benar yakin, ayat Allah itu kan tetap pasti. Dipanggilnya kesemua bentara untuk membincangkan segala-galanya tentang ummah. Dilihatnya qurratul ainanya sistematik mengelolakan syura itu. Dia berharap, cukup berharap, agar suatu hari nanti, merekalah ar rijal qawwamul ‘ala nisa’……
No comments:
Post a Comment