“Edry, nak tanya boleh?” tegur seorang kawan ketika sekolah rendah saya melalui Yahoo Messenger.
“Sila-sila”, balas saya.
“Tak guna ya puasa kalau tak tutup aurat?” soal kawan saya itu.
“Kalau kita lihat sudut sah atau tidak. Tutup aurat memang bukan syarat sah atau tak sah puasa”, saya cuba membantu.
“Cuma puasa tu mungkin kering pahalanya dan tak mendapat makna serta manfaat sebenar”, saya sekadar memberikan pandangan peribadi.
“Tu la, ada member aku ni. Dah lama aku perhatikan. Dia tak puasa”, ujarnya.
“Aku tanya dia kenapa. Dia cakap dia ada baca kat e-mail. Tak guna puasa kalau tak tutup aurat. Jadi lebih baik tak puasa terus”, dia menyambung cerita.
“Tak tutup aurat tu dah ingkar pada suruhan Pencipta. Tak puasa tu satu lagi keingkaran terhadap suruhan Pencipta. Kalau satu keingkaran tu sendiri memerlukan usaha untuk diperbaiki, mengapa nak tambah satu lagi? Secara positif, lebih baik satu kesilapan daripada dua”, saya cuba berkongsi apa yang terlintas di benak.
Kita tidak dungu untuk mempertikai mengapa pemandu dan penumpang kereta perlu memakai tali pinggang keselamatan. Atau mengapa perlu memandu mematuhi had laju tertentu. Kita tidak mempertikaikannya kerana kita tahu setiap undang-undang itu punya tujuan dan kebaikan tersendiri.
Tidak sepatutnya hanya kerana seseorang itu sering melakukan kesilapan memandu laju, lalu dia memilih untuk turut tidak memakai tali pinggang keselamatan. Kerana konon baginya tidak ada erti memakai tali pinggang keselamatan sekiranya masih gagal membuang tabiat buruknya memandu laju. Yang jelas dia hanya menambah kesalahan undang-undang yang dilakukan daripada satu kepada dua.
Walhal yang sepatutnya dilakukan adalah terus memakai tali pinggang keselamatan pada masa yang sama terus berusaha memperbaiki tabiat memandunya. Memakai tali pinggang keselamatan sepatutnya mengingatkannya bahawa dalam ia mematuhi satu undang-undang. Mengapa tidak cuba mematuhi secara menyeluruh.
Dalam ia cuba menjaga keselamatan diri sendiri ketika memandu. Mengapa tidak dia usahakan juga untuk menjaga keselamatan umum dengan mematuhi had laju. Meminimakan kesilapan itu tentu sekali lebih baik daripada menambah jumlah kesilapan
Begitu juga dengan hukum dan suruhan Pencipta. Adalah biasa bagi manusia yang lemah ini untuk melakukan kesilapan melanggar suruhanNya. Namun itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk terus melakukan lebih banyak kesalahan.
Sepatutnya peringatan terhadap kebenaran diambil secara positif dan bukan sebaliknya. Sama halnya bagi kes puasa dan menutup aurat tadi. Bukan puasa itu yang perlu ditinggalkan sebaliknya kemahuan untuk mematuhi etika berpakaian yang ditetapkan Tuhan itu yang perlu dipertingkatkan.
Sebagai manusia, hamba Tuhan yang penuh kekurangan. Jangan melihat kita semata-mata dituntut sebaik mungkin memperbanyakkan ketaatan. Tetapi juga perlu cuba mengurangkan sebanyak mungkin keingkaran.
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللهِ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [az-Zumar 39:53]
alFaisal
Kuala Lumpur
6 September 2008 / 6 Ramadan 1429
5.57 pm
http://demipena.com
No comments:
Post a Comment