Assalamualaikum wbt
Palestin menangis lagi, dan entah bila isu ini akan berkesudahan, Allahu 'alam. Cumanya janji Allah bahawa bumi Isra' Rasulullah SAW akan sentiasa diberkati pasti akan datang. Bumi itu juga yang akan senantiasa hidup dengan pejuang-pejuang pilihan Allah, itu juga janji Allah..
Dalam diam, hati sebenarnya termalu sendiri. Apa tidaknya, saudara-saudara di Palestin sedang berjihad untuk Islam, untuk diri serta negara mereka, diri ini hanya mampu berfikir perkara-perkara kecil. "Lepas ni nak 'lunch' kat mana?" "Nak buat apa weekend ni?" "Nak beli kat mana baju batik?". Astaghfirullah al adzheem, Ya Ilahi, ampuni dosa kami Ya Allah.
Termalu juga diri, ketika mana saudara-saudara di Palestin sedang berjuang untuk mendapatkan gelaran syahid, diri ini semakin lama semakin lalai dan leka dengan kesenangan dunia. Bukankah sudah dipesan Rasulullah saw, Mu'min itu bagaikan satu jasad? Dicubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya.
“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim).
Termalu juga diri, apabila menyedari terlalu banyak barangan yang di dalam lingkungan barang-barang yang menyumbangkan kepada kezaliman Israel, baik makanan, barangan kosmetik, pakaian dan sebagainya. Moga ada sedikit kekuatan untuk jihad yang sedikit ini.
Aduhai diri...Jika ibumu disakiti, jika ayahmu dizalimi, jika adik-adikmu di'anak-tirikan' apakah sanggup kau berdiam diri begitu shaja? Apakah sanggup kau memikirkan tentang lapar perutmu, tentang kesenangan matamu. Wahai diri, perbanyakkanlah istighfar. Jadilah sensitif dengan keadaan saudaramu di sana. Mereka bergolok gadai demi Islam, dan kau masih memikirkan perutmu, pakaianmu, matamu. Istighfar wahai diri..